FAREEZ  (kiri) dan Muhamad Zulfatihi  (kanan) beraksi dalam acara berpasukan lelaki.
FAREEZ (kiri) dan Muhamad Zulfatihi (kanan) beraksi dalam acara berpasukan lelaki.
BERNAMA

Phnom Penh : Pemain badminton para negara Muhammad Fareez Anuar berasakan ketiadaan jaguh badminton negara Cheah Liek Hou yang sebelum ini berpasangan dengannya pada edisi APG di Solo, Indonesia amat dirasai, pada acara final berpasukan lelaki Sukan Para Asean (APG) 2023, hari ini.

Muhammad Fareez berkata kekosongan itu dirasainya dan pasangan Muhamad Zulfatihi Jaafar selepas ditewaskan pasangan Indonesia Hafizh Briliansyah Prawiranegara-Hari Susanto menerusi acara beregu lelaki, 12-21 dan 16-21.

"Kalau ada Liek Hou mungkin (keputusan) berubah, sebab memang dapat rasa ketiadaan dia (Liek Hou) semasa acara beregu lelaki.

"Lagipun ini kali pertama saya bergandingan dengan Muhamad Zulfatihi dan keputusan itu dibuat saat akhir untuk perlawanan final ini. Saya rasa kami kurang kesefahaman sebab ada masa kedua-duanya seperti rebut bola," katanya kepada media di sini hari ini.

Malaysia terpaksa berpuashati untuk membawa pulang pingat perak acara badminton berpasukan lelaki, selepas tumpas kepada Indonesia 1-2 pada acara final hari ini.

Malaysia meraih satu mata menerusi Mhd Amin Burhanuddin yang mengalahkan Fredy Setiawan 19-21, 21-19 dan 21-18, manakala seorang lagi pemain perseorangan Amyrul Yazid Ahmad Sibi tewas kepada Dheva Anrimusthi 13-21, 8-21.

Pada edisi di Solo, Muhammad Fareez yang bergandingan bersama Liek Hou, membawa pulang pingat gangsa menerusi acara beregu SU5 (kecacatan fizikal).

Turut berkongsi perasaan sama, Amyrul Yazid yang kali terakhir membuat penampilan di temasya dwitahunan itu pada edisi Kuala Lumpur 2017, kerana berasakan ketiadaan Liek Hou sedikit telah sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan skuad para negara.

"Kalau Liek Hou main di APG mungkin peluang kemenangan kami ialah 50-50 namun dia tiada, menjadikan peluang kepada 60-40 jadi memang sukar. Kami sudah buat yang terbaik untuk menang namun tidak berjaya," katanya.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini mengumumkan Liek Hou bersama dua jaguh negara iaitu Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), tidak akan dihantar ke temasya dwitahunan itu selepas masing-masing memenangi pingat emas Sukan Paralimpik.

Sukan Paralimpik sebuah temasya sukan antarabangsa terulung yang melibatkan atlet yang mengalami pelbagai kelainan upaya.

Kontinjen negara disertai 144 atlet, dengan 62 atlet atau 43 peratus daripadanya kali pertama menyertai temasya edisi ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 11:17 PM