TANG JIE-EE WEI menumbangkan pilihan ketiga kejohanan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. -FOTO NSTP
TANG JIE-EE WEI menumbangkan pilihan ketiga kejohanan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melaungkan amaran mereka bakal mencipta kejutan di Terbuka Thailand apabila menumbangkan pilihan ketiga kejohanan dari China, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark itu menyaksikan Tang Jie Ee Wei melakar kemenangan 21-15,19-21 dan 21-19 terhadap Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping.

Tang Jie-Ee Wei yang dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris mudah mencipta kemenangan pada set pertama sebelum tewas kepada pertemuan kedua kepada pasangan China itu.

Walaupun, pasangan China terbabit lebih berpengalaman namun Tang Jie-Ee Wei berjaya mengawal perlawanan pada set penentuan sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Tang Jie berkata, kemenangan itu meniup semangatnya untuk mencipta keputusan positif pada pertemuan seterusnya kelak.

"Saya tidak boleh gembira terlalu awal walaupun menumpaskan pilihan ketiga kejohanan kerana perlawanan masih awal lagi dan perlu terus kekal positif.

"Pada saya, semua lawan adalah sukar kerana mereka juga mempunyai kekuatan masing-masing. Apa yang penting ada terus kekal positif untuk setiap perlawanan supaya tidak melakukan kesilapan mudah," katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan negara Ng Tze Yong turut tidak berhadapan masalah menempah slot ke peringkat seterusnya selepas menumbangkan wakil dari India Priyanshu Rajawat.

Pada set pertama, Tze Yong diberi tentangan sengit sebelum melakar kemenangan 21-19 manakala pertemuan kedua pula menyaksikan pemain muda itu mudah menewaskan Priyanshu 21-10 pada perlawanan yang berlangsung dalam tempoh 33 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 2:05 PM