JUN Hao (dua dari kiri) tidak pasti sama ada saya akan diturunkan ataupun tidak untuk perlawanan pertama. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
JUN Hao (dua dari kiri) tidak pasti sama ada saya akan diturunkan ataupun tidak untuk perlawanan pertama. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Syazwan Msar


Phnom Penh: Skuad badminton negara ternyata mampu tersenyum undian acara berpasukan lelaki dan wanita Sukan Sea Kemboja 2023 yang akan membuka tirai hari ini di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo, Phnom Penh.

Hal ini kerana, undian yang berlangsung semalam menyaksikan skuad berpasukan lelaki yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan menentang Vietnam pada petang esok.

Namun, cabaran sebenar Malaysia akan bermula lusa pada peringkat separuh akhir dengan kemungkinan akan berdepan Thailand.

Malaysia perlu berusaha mengelak bertemu Singapura yang turut dibarisi juara dunia 2021, Loh Kean Yew serta skuad ampuh Indonesia yang juga pilihan pertama kejohanan.

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berkata, Vietnam bukanlah lawan yang mudah kerana permainan sudah semakin meningkat sekali gus mampu memberi cabaran getir buat negara.

"Bagi saya ini masih undian yang baik, walaupun begitu kita akan menentang Vietnam, dan ia bukanlah tugas yang senang. Yang penting kami perlu buat yang terbaik dahulu menentang Vietnam sebelum bersiap bertemu Thailand.

"Saya pun tidak pasti sama ada saya akan diturunkan ataupun tidak untuk perlawanan (esok) kerana semua percaturan ini akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan," katanya.

Sementara itu, dalam acara wanita pula, Malaysia akan berdepan Filipina pada hari ini dan dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Jangkaan Malaysia di separuh akhir adalah pasukan Indonesia yang dijadualkan menentang pasukan tuan rumah, Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:58 PM