PEMAIN beregu negara, Aaron Chia (terbaring di atas gelanggang) dan Soh Wooi Yik meraikan kejayaan muncul juara beregu dunia selepas menewaskan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan, semalam. FOTO AP
PEMAIN beregu negara, Aaron Chia (terbaring di atas gelanggang) dan Soh Wooi Yik meraikan kejayaan muncul juara beregu dunia selepas menewaskan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan, semalam. FOTO AP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendedikasikan kejayaan mereka bergelar juara dunia kepada dua individu yang menjadi watak penting iaitu Rexy Mainaky dan Tan Bin Shen.

Dua individu itu yang duduk di penjuru gelanggang ketika perlawanan akhir menjadi nadi kepada kemenangan Aaron-Wooi Yik menewaskan lawan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit, semalam.

Ketika waktu genting kedengaran laungan suara Rexy yang juga Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk Aaron-Wooi Yik terus fokus fikirkan mata demi mata supaya mereka tidak leka.

"Kemenangan ini untuk mereka dan kerana mereka kami dapat beraksi dengan baik di Kejohanan Dunia ini.

"Di dalam gelanggang, di dalam televisyen mungkin peminat tak dapat melihat betapa kami bergelut.

"Tapi Rexy dan Bin Shen sentiasa beri kami semangat kat belakang. Itulah yang buat saya lebih kental dan boleh main untuk mata demi mata dan atasi segala kesukaran," kata Wooi Yik.

Malah, Aaron turut mengakui dia tidak memikirkan kemenangan biarpun di mata akhir.

"Masa mata akhir itu memang tak fikir menang. Kami fokus untuk dapatkan mata dan main mengikut cara kami.

"Sebab dengan cara itu buat kami terus fokus kepada perlawanan," katanya.

Kegagalan di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 turut diakui menjadi titik tolak kejayaan Aaron-Wooi Yik.

Aura bumi Tokyo memang tidak dinafikan begitu besar ertinya buat beregu di ranking kelima dunia itu dan Aaron ketika sidang media secara maya mengakui gangsa yang diperoleh di Birmingham 2022 itu satu kekecewaan yang amat besar.

Tapi, kata Aaron, mungkin itu cara Tuhan untuk memberikan mereka rasa sakit yang amat sangat sebelum bukan hanya mencipta kejayaan, tapi sejarah dalam sukan badminton negara apabila menamatkan penantian 45 tahun.

"Saya akui gangsa di Birmingham itu satu kegagalan sebab kami memang sasar untuk emas.

"Tapi itulah Tuhan nak bagi jalan. Bagi kami rasa sakit dulu selepas itu bangkit di Kejohanan Dunia," katanya.

Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum ini dikatakan terkena 'sumpahan separuh akhir' apabila mengalami enam kekalahan dalam aksi kelompok empat terbaik tahun ini termasuklah ketika di Birmingham 2022.

Malah sejak digandingkan pada 2017, pencapaian terbaik kedua-dua pemain itu setakat ini adalah lapan kali muncul naib juara termasuk pada saingan Kejohanan Badminton Asia, Mei lalu, Terbuka Thailand 2020 dan Seluruh England 2019.

Ini adalah penampilan keempat Aaron-Wooi Yik di kejohanan dunia dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:42 PM