GANDINGAN Aaron (kanan) dan Wooi Yik tersingkir awal di Terbuka Malaysia. FOTO Aswadi Alias
GANDINGAN Aaron (kanan) dan Wooi Yik tersingkir awal di Terbuka Malaysia. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi amaran bahawa waktu berehat pemain beregu negara sudah pun berakhir dan perlu kembali fokus pada tahap terbaik untuk menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Menurut Rexy, ia kurang profesional bagi individu bergelar atlet sukan untuk memberi alasan beraksi di bawah tekanan setiap kali gagal mara lebih jauh dalam kejohanan yang disertai.

Beliau mahu anak buahnya membuktikan kemampuan masing-masing dan berjuang habis-habisan merangkul kejayaan sekali gus membuktikan kelayakan berada pada ranking ketiga dunia (Aaron Chia-Soh Woi Yik), keenam dunia (Pearly Tan-M Thinaah) dan ke-10 dunia (Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani).

"Mereka (beregu negara) harus faham perayaan Krismas dan Tahun Baru sudah lepas di mana 'Santa Claus' yang mahu bagi mereka hadiah pun sudah tiada, jadi mereka harus kembali fokus buat kerja dengan serius. Tiada lagi cuti," katanya.

Ujar pengendali kelahiran Indonesia itu, alasan seperti tertekan bermain di tanah air sendiri tidak boleh diguna pakai pemain berkelas dunia.

"Lihat sahaja beregu Indonesia, Jepun, Korea Selatan yang mampu menampilkan aksi terbaik di tanah air mereka," katanya kepada media.

Ditanya mengenai kekalahan kesemua pasukan beregu lelaki dan wanita di bawah kendalian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di kejohanan Terbuka Malaysia, beliau nyata kecewa terhadap keputusan berkenaan.

Jurulatih kelahiran Indonesia berusia 54 tahun itu kini sedang merangka satu pelan hala tuju bersama barisan tertinggi BAM untuk memantapkan persiapan dengan lebih bersistematik sebelum diterapkan dalam pasukan negara.

Rexy memaklumkan perjumpaan bersama barisan pemain diadakan baru-baru ini, di mana perhatian akan diberikan mengikut kehendak beregu lelaki manakala akan mencari rakan sepelatih bagi beregu wanita.

Dalam pada itu, Rexy jelas sekali kecewa selepas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas di pusingan kedua Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

"Mereka (Aaron-Woi Yik) main seperti tidak ada jiwa di mana ianya selalu berlaku pada mereka yang seperti menunggu sahaja pihak lawan membuat kesalahan. Tetapi sekurang-kurangnya kita nampak Pearly-Thinaah cuba beri tekanan.

"Jadi kita di bahagian pengurusan dah jumpa pemain dan mereka harus beritahu apa yang diperlukan jadi kami akan beri komitmen. Untuk lelaki kami akan layan mengikut keperluan mereka manakala bagi Pearly-Thinaah akan kami cari rakan sepelatih lelaki sebab mereka sudah berada pada tahap yang baik," katanya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik, yang turun sebagai pilihan keempat ditewaskan gandingan keenam dunia dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23 dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit.

Sze Fei-Nur Izzudin tewas kepada satu lagi pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 11-21, 17-21.

Pearly-Thinaah, yang turun sebagai pilihan kelapan kejohanan ditundukkan gandingan adik beradik, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria, 19-21, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 3:28 PM