PEARLY (kanan) dan Thinaah dilihat tidak mempunyai persefahaman ketika di Masters China. FOTO FATHIL ASRI
PEARLY (kanan) dan Thinaah dilihat tidak mempunyai persefahaman ketika di Masters China. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Satu pertemuan akan diadakan bagi mengetahui situasi sebenar yang melanda pasangan wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sekembalinya mereka dari Shenzen, China.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mohon agar isu yang menyelubungi pasangan wanita negara tidak diperbesarkan.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How dan kedua-dua pemain berkenaan sekembalinya mereka ke tanah air.

"Buat ketika ini, saya tidak boleh memberi gambaran sebenar apa yang berlaku. Tapi saya percaya ia adalah perkara biasa yang berlaku ke atas mana-mana pasangan.

"Tapi mungkin juga peminat salah tafsir komen saya di Instagram mengenai Pearly dan Thinaah.

"Apa yang saya cuba maksudkan adalah sukar untuk menjaga dan menguruskan pemain-pemain ini," katanya.

Di tanya sama ada kes membabitkan Pearly-Thinaah sama seperti Nur Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei sehingga mereka terpaksa dipisahkan selama lima bulan, Rexy menafikannya.

Bagaimanapun Rexy mengharapkan bahawa apa yang berlaku di antara Pearly-Thinaah tidak diperbesarkan kerana mereka akan berdepan musim yang penuh mencabar tahun depan di mana Olimpik menjadi fokus utama.

"Mereka harus tahu, tahun depan Olimpik. Mereka perlu tahu jaga diri mereka kerana sudah berada dalam RTG (Road to Gold).

"Sebabnya kami di BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tidak boleh memantau mereka 24 jam," katanya.

Terdahulu timbul persoalan hubungan Pearly-Thinaah sehingga mencetuskan andaian mereka bergaduh dan menyebabkan tewas seawal pusingan pertama Masters China.

Rata-rata peminat beregu wanita negara itu berasa pelik kerana reaksi mereka tidak seperti kebiasaan yang dilihat cukup mesra, bersemangat dan saling memberi tepukan 'high five' serta berinteraksi antara satu sama lain.

Untuk rekod tahun ini menyaksikan Pearly-Thinaah muncul naib juara dua kali iaitu ketika Masters Malaysia dan Terbuka Hong Kong selain gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis yang dimenangi mereka tahun lalu selepas terpaksa menarik diri susulan kecederaan belakang dialami Pearly.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 4:20 PM