NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei tewas di pusingan kedua Terbuka Switzerland, semalam. FOTO ARKIB NSTP
NUR Izzuddin (kiri) dan Sze Fei tewas di pusingan kedua Terbuka Switzerland, semalam. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak sepatutnya tewas kepada pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren di pusingan kedua Terbuka Switzerland, semalam.

Keluhan itu disuarakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas menyaksikan pasangan negara itu tewas 17-21, 21-19, 21-15 pada aksi yang berlangsung di St Jakobshalle, Basel.

"Kalau saya tengok perlawanan itu, tak sepatutnya mereka kalah. Cuma pada set terakhir mereka seperti hilang motivasi untuk melawan semula.

"Saya rasa itu satu kesilapan yang dilakukan Izzudin-Sze Fei. Mereka tewas pada pusingan pertama di (Terbuka) Perancis, Seluruh England dan kemudian di pusingan kedua (Terbuka Switzerland).

"Lawan yang ditemui kali ini pula semasa pertemuan terakhir, mereka menang," kata Rexy pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Beliau merujuk kepada kejayaan Sze Fei-Izzudin menewaskan lawan dari Thailand itu di Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Namun daripada tiga pertemuan setakat ini, Jomkoh-Kedren yang menduduki ranking ke-24 dunia, menang dua daripadanya termasuk terbaru di Terbuka Switzerland.

Di Seluruh England minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir awal apabila tumbang kepada beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 4:47 PM