YEW Sin dan Ee Yi berentap di Terbuka Malaysia bulan depan.
YEW Sin dan Ee Yi berentap di Terbuka Malaysia bulan depan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perlumbaan untuk mengejar tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah bermula buat pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Axiata Arena bulan depan untuk saingan Terbuka Malaysia.

Menurut Ee Yi, ia bukan mudah untuk bersaing dalam kejohanan bertaraf Super 1000 itu kerana pasangan bakal beraksi adalah dalam kalangan 32 terbaik dunia.

"Semua pasangan sangat sukar dikalahkan. Semua dalam kalangan 32 terbaik dunia dan apa boleh kita lakukan hanyalah memberikan aksi terbaik," katanya yang sekarang ini menduduki ranking ketujuh dunia itu.

Yew Sin-Ee Yi akan memulakan kempen di Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari ini dengan berdepan pasangan dari China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang di pusingan pertama.

Mereka harus mendapat rentak terbaik untuk memulakan perlumbaan mengejar mata ke Olimpik Paris 2024 kerana bakal bersaing dengan beberapa lagi pasangan negara terutamanya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Bagi saya memang semua antara kami akan bersaing sesama sendiri untuk merebut slot ini. Selain saya dengan Yew Sin kami akan berdepan pasangan seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan juga Man Wei Chong-Tee Kai Wung.

"Hanya yang terbaik dalam persaingan ini akan layak ke Olimpik untuk mewakili negara," kata pemain kelahiran Johor yang berusia 29 tahun itu.

Walaupun bergerak secara profesional Yew Sin-Ee Yi bakal mendapat sentuhan bekas jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak yang sebelum ini berkelana di Filipina.

"Setakat ini jurulatih Rosman masih lagi belum melatih kami sepenuhnya dan sedang berlaku peralihan jurulatih daripada Chin Ee Hui. Mungkin beliau masih berbincang dengan Ee Hui kerana program latihan kami meliputi di dalam gelanggang dan gimnasium," katanya.

Ee Hui yang juga bekas pemain beregu wanita negara, dijangka mencari angin baru dengan melatih Kelab North Harbour yang berpangkalan di Auckland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 3:59 PM