YEW Sin dan Ee Yi dapat bye   pusingan pertama di Kejohanan Dunia.
YEW Sin dan Ee Yi dapat bye pusingan pertama di Kejohanan Dunia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi diharap dapat memperbaiki kelemahan penyudah mereka seandainya mahu menyimpan impian tinggi di Kejohanan Dunia dekat Copenhagen, Denmark yang bermula hari ini.

Jurulatih gandingan itu, Rosman Razak berkata, beliau enggan ambil pusing dengan lawan bakal ditemui beregu negara itu, sebaliknya lebih gusar dengan prestasi anak buahnya terutama kelemahan ketika melakukan penyudah.

"Untuk Yew Sin-Ee Yi, mereka sebenarnya sudah menang dengan semua gandingan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia. Jadi sebenarnya saya tak kisah sangat mengenai lawan yang akan ditemui mereka.

"Cuma mereka berdua perlu lebih konsisten dan dapat melakukan penyudah yang baik. Mereka biasanya lemah di bahagian penyudah. Selain itu paling penting saya mengharapkan mereka bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.

Mendapat 'bye' di pusingan pertama, Yew Sin-Ee Yi akan bertemu antara gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga atau Vinson Chiu-Joshua Yuan dari Amerika Syarikat pada pusingan kedua.

Jika menang, mereka dijangka bertemu gandingan tuan rumah yang juga juara Sukan Eropah pada Jun lalu, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada pusingan ketiga.

Kali terakhir mereka bertemu gandingan Denmark itu adalah di Terbuka China 2019 yang memihak kepada pasangan negara.

Sementara itu, Rosman akui berasa lega dengan kehadiran tiga pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang akan membantu atlet profesional di bawah program Road to Gold (RTG) termasuk Yew Sin-Ee Yi.

"Kehadiran mereka banyak membantu kami terutamanya daripada segi proses pemulihan. Sebelum ini kami memang kekurangan perkara ini. Harap pemain dapat memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 5:04 PM