Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan harapan kepada acara beregu lelaki untuk meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun bekas pemain negara, Lee Wan Wah mempunyai pandangan berbeza dan yakin dengan kemampuan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Menurut pemenang pingat emas Sukan SEA 2003 Vietnam itu, Yew Sin-Ee Yi sudah menunjukkan banyak peningkatan terutama tahun lalu selepas muncul juara Terbuka Bitburger, Cabaran Antarabangsa Vietnam, Terbuka Romania dan Terbuka Portugal.

“Saya rasa dengan tunjuk ajar betul dan mendapat latihan secukupnya, mereka layak dilabel pesaing utama untuk merebut emas acara beregu lelaki,” katanya yang juga juara Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur.

Jelasnya, Yew Sin-Ee Yi akan mendapat sentuhan ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit yang mempunyai pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih.

“Saya yakin dengan mereka kerana Soon Kit jurulatih bagus. Sebelum ini beliau membantu beregu wanita negara (Wong Pei Tty-Chin Eei Hui) sehingga berjaya.

“Ia memang mengambil masa kerana sebelum Soon Kit mengetuai bahagian beregu lelaki, jurulatih sering bersilih ganti dan setiap cara mereka memang berbeza,” kata Wan Wah.

Soon Kit mencipta sejarah tersendiri di Sukan SEA apabila berjaya membantu menamatkan penantian emas 30 tahun beregu wanita apabila Pei Tty-Eei Hui muncul juara di Manila pada 2005.

Kali ini, BAM hanya meletakkan sasaran emas dalam dua acara - beregu wanita dan beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:40 AM