ZII Jia akan berdepan Christie di suku akhir. FOTO BADMINTON PHOTO
ZII Jia akan berdepan Christie di suku akhir. FOTO BADMINTON PHOTO
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mara ke suku akhir Terbuka Denmark selepas membenam wakil Jepun, Kanta Tsuneyama di pusingan kedua, hari ini.

Ia menyaksikan Zii Jia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan dengan pemain di ranking ke-15 dunia itu.

Tiada istilah belas kasihan buat pemain yang kini menghuni tangga ke-3 dunia itu apabila dia bermula garang untuk mencatat kemenangan bergaya 21-5 pada set pertama.

Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan jelas tidak memberi peluang kepada lawannya untuk bangkit, sekali gus memastikan kemenangan pada set kedua 21-19 dan menamatkan saingan dalam tempoh 36 minit.

Menantinya di suku akhir adalah wakil Indonesia, Jonatan Christie yang mara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 17-21, 21-9, 21-19.

Untuk rekod, kali terakhir Zii Jia bertemu dengan pemain di ranking ke-7 dunia itu adalah ketika final Kejohanan Badminton Asia 2022 pada April lalu yang menyaksikan dia menang 21-17, 23-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 9:32 PM