CHONG WEI tiup semangat buat Tze Yong. -FOTO NSTP
CHONG WEI tiup semangat buat Tze Yong. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dicabar menempatkan diri dalam kelompok ranking 16 terbaik dunia sebelum tamatnya saingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus memperoleh tiket automatik beraksi di temasya berprestij itu.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, Tze Yong perlu bekerja keras dan memanfaatkan sepenuhnya pertandingan yang ada ketika ini bagi membantunya menaikkan ranking yang ketika ini berada di kedudukan ke 28 dunia.

"Ketika ini, kita berada dalam tempoh Olimpik dengan kelayakan ke temasya itu bermula Mei nanti. Sekiranya Tze Yong tidak berada dalam kelompok 16 terbaik, dia tidak boleh pergi ke Olimpik.

"Adakah dia mahu menunggu empat tahun lagi? Apa sahaja boleh berlaku nanti, kita tidak tahu. Harapan saya adalah untuk dia layak ke Olimpik walaupun sukar untuk dapatkan pingat, namun sekurang-kurangnya dia dapat rasakan tekanan itu," katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik percaya ia bukan satu yang mustahil untuk melihat Tze Yong untuk beraksi di temasya itu tahun hadapan.

Jelasnya, dia akan membantu pemain berusia 22 tahun dengan mengambil contoh dirinya yang memerlukan masa 11 bulan untuk bangkit daripada ranking 182 ke No.1 dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

"Dia perlu bekerja keras dan tahu apa yang dimahukan. Saya tahu dia muda tetapi Olimpik tidak menunggu anda. Olimpik sangat berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan lain kerana ia berlangsung empat tahun sekali.

"Semua pemain impikan untuk bermain di sana, oleh sebab itu saya harap Tze Yong guna peluang yang ada setahun ini bagi memberikan sepenuh fokus, sekali gus layak ke temasya Olimpik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 4:02 PM