CHONG Wei berkata sejak penyertaan Malaysia beberapa kali wakil negara hampir merangkul emas namun terkandas apabila tewas di tangan lawan masing-masing. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
CHONG Wei berkata sejak penyertaan Malaysia beberapa kali wakil negara hampir merangkul emas namun terkandas apabila tewas di tangan lawan masing-masing. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dulu nyaris menang sekarang pemain badminton Malaysia sudah pun bergelar juara Kejohanan Badminton Dunia.

Malah buat legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei melihat kejayaan yang dikecapi pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaikan kisah dongeng yang akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau berkata, sejak penyertaan Malaysia di kejohanan dunia pada 1977, wakil negara beberapa kali hampir merangkul emas namun terkandas apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

"Peliknya 11 negara sudah pun bergelar juara tetapi bukannya Malaysia.Percaya tak, Sweden, Amerika Syarikat dan Singapura pun pernah juara tapi bukan negara kita.

"Tapi hari ini, sejarah sudah pun dibetulkan oleh Aaron-Wooi Yik apabila mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Terima kasih Malaysia… Kita juara," katanya.

Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.

Mengikut rekod, Chong Wei antara pemain badminton Malaysia paling kerap beraksi di pentas final kejohanan dunia iaitu 2011,2013 dan kali terakhir 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:39 PM