AKSI  Aaron dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia semalam.
AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia semalam.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kehadiran semula Rexy Mainaky ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ternyata memberi impak besar terutama buat pemain beregu lelaki negara kerana legenda badminton Indonesia itu sendiri mengakui beliau mahu memfokuskan kepada kekuatan mental Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM itu, sejak mula kembali ke BAM awal tahun ini, dia sering menumpukan kepada usaha memupuk 'minda kemenangan' ke atas pemain dan membina keyakinan Aaron-Wooi Yik berbanding kemahiran dimiliki.

"Kalau memikirkan tahap mereka berada, kita tak bercakap mengenai skil ataupun teknik kerana tidak banyak yang perlu diubah namun lebih banyak terarah kepada bagaimana untuk kepercayaan dan keyakinan diri apabila berdepan pemain utama," kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.

Ujarnya, jika mempunyai pemikiran 'boleh meraih mata dengan skil yang ada, Aaron-Wooi Yik boleh bersaing dengan mana-mana pasangan lawan sekali pun.

"Ini yang saya cuba lakukan dan cuba mengurangkan kesilapan mudah dan cara pemikiran mereka. Semua ini perlu saya pertingkatkan dan apabila semuanya berjaya digabungkan, saya fikir semua skil akan datang secara sendiri.

"Saya seorang yang mempunyai mentaliti positif dan sudah beberapa tahun menjadi jurulatih. Jadi kritikan itu boleh membina kekuatan mentaliti untuk semua pemain terutama yang berada di kelas dunia," katanya.

Dalam pada itu, Rexy turut merasai 'debaran' dihadapi Aaron-Wooi Yik yang berjaya menamatkan penantian 45 tahun pingat emas sulung negara di pentas Kejuaraan Badminton Dunia.

"Saya melihat banyak negara seperti Jepun, England, Denmark, Korea Selatan, China dan Indonesia sudah pun meraih kemenangan (gelaran) namun Malaysia tak pernah. Mereka (pemain Malaysia) tidak dapat satu pun (gelaran) dan tentunya saya bersyukur kepada Tuhan.

"(Perasaan) seperti kamu rasakan yang kamu mahu berjalan tetapi tidak boleh tetapi secara tiba-tiba boleh berjalan malah boleh berlari. Itu perasaan saya terhadap pemain ini apabila menang dan menjadi pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia, sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Bekas juara dunia di Lausanne 1995 ketika bergandingan bersama Ricky Subagja itu turut menggambarkan keturajaannya sebaik saja mata terakhir dikutip Aaron-Wooi Yik yang seakan 'seorang pesakit terlantar dan tiba-tiba sembuh dan boleh berlari'.

Semalam, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah meraih gelaran juara dunia dalam acara beregu lelaki apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan keputusan straight set 21-19, 21-14.

Mereka selepas ini dijadual menyertai Terbuka Jepun yang bakal membuka tirainya esok di Osaka sehingga 4 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 2:44 PM