WOOI Yik (kiri) turut menyatakan bahawa tidak terlintas di fikirannya untuk berpisah dengan Aaron. FOTO FATHIL ASRI.
WOOI Yik (kiri) turut menyatakan bahawa tidak terlintas di fikirannya untuk berpisah dengan Aaron. FOTO FATHIL ASRI.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun masih belum meraih sebarang kejuaraan, pemain beregu nombor satu negara Soh Wooi Yik menegaskan bahawa ia bukan satu alasan yang munasabah untuk memisahkan dia bersama Aaron Chia.

Ia adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku ketika ini biarpun mereka masih lagi ketandusan gelaran juara.

Wooi Yik, 24, berkata dia bersama Aaron tidak pernah berputus asa dan tetap berusaha untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

"Saya fikir tak mungkin saya akan berpisah dengan Aaron. Kami sudah buktikan kami antara yang paling konsisten dengan memenangi gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.

"Sebab kami belum raih sebarang gelaran, orang rasakan kami kena berpecah. Kami sentiasa berusaha dan dalam pemikiran kami pun kami mahu dan akan terus berusaha untuk dapatkan gelaran juara itu tapi masih belum tiba masanya," katanya.

Kegagalan demi kegagalan menamatkan kemarau kejuaraan termasuklah tewas di separuh akhir Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia baru-baru ini menyaksikan segelintir peminat badminton tempatan merasakan gandingan Wooi Yik bersama Aaron perlu dipisahkan.

Ini kerana sejak digandingkan pada 2017, pencapaian terbaik mereka adalah gangsa di Sukan Olimpik selain muncul naib juara sebanyak lapan kali.

Namun Wooi Yik yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM) berkata, dia sudah pun berbincang dari hati ke hati dan meluahkan apa yang terpendam kepada Pengarah Kejurulatihan Badminton BAM, Rexy Mainaky.

Katanya, masalah utama adalah dirinya sendiri dan lebih kepada hati untuk kami lebih berani dan percaya dengan kemampuan diri sendiri.

Wooi Yik-Aaron ketika ini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Bagaimanapun, persiapan mereka sedikit terganggu selepas Aaron diuji positif Covid-19, kelmarin dan perlu menjalani kuarantin sebelum boleh kembali menjalani latihan pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 5:20 PM