LUAHAN Wooi Yik di laman Instagram miliknya. -FOTO Instagram
LUAHAN Wooi Yik di laman Instagram miliknya. -FOTO Instagram
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Punca pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik dilihat agak 'lemau' pada pentas final Terbuka China terjawab apabila sebenarnya dia mengalami demam panas, lewat malam tadi.

Wooi Yik dan pasangannya Aaron Chia beraksi di bawah tahap prestasi sebenar mereka apabila tumbang di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam aksi 26 minit yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Aksi mereka seperti ada yang tidak kena selain sering melakukan kesilapan mudah yang memberi mata kepada pasangan tuan rumah.

Selepas tewas 12-21 pada set pertama, beregu negara yang menduduki ranking keempat dunia gagal bangkit pada set kedua apabila ketinggalan 0-7 sebelum memperbaiki permainan tetapi sudah terlewat.

Susulan kekalahan itu, Wooi Yik menerusi laman Instagram miliknya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberitahu yang dia mengalami demam panas lewat malam tadi.

"Pertama sekali saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang menonton perlawanan kami, secara jujurnya saya secara tiba-tiba mengalami demam panas lewat malam tadi.

"Saya berasa sangat tidak berdaya dan bertanya mengapa Tuhan melakukannya ke atas diri saya pada detik penting ini.

"Ini bukanlah Wooi Yik yang sebenar dan ini bukan perwatakan saya. Saya memberitahu diri saya untuk terus berjuang dan buat yang terbaik tetapi keadaan saya sangat teruk dan tidak berdaya di gelanggang," katanya.

Pemain itu turut mengakui rasa bersalah dengan Aaron disebabkan keadaan yang menimpa dirinya itu.

"Saya sedia menanggung semua kesalahan ini kerana saya rasa bersalah dengan Aaron. Saya percaya hikmah di sebalik semua ini.

"Hanya satu yang bermain di fikiran saya sekarang, saya akan merangkul gelaran juara suatu hari nanti," katanya.

Wooi Yik-Aaron selepas ini akan beraksi di Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini dan akan menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 8:58 PM