AARON (kanan) dan Wooi Yik perlu buat keputusan sendiri. FOTO Fathil Asri
AARON (kanan) dan Wooi Yik perlu buat keputusan sendiri. FOTO Fathil Asri
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sama ada perlu berpisah atau tidak keputusan itu hanya boleh diputuskan sendiri oleh beregu nombor satu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mereka yang perlu menentukan hala tuju mereka sendiri sekiranya memang sudah tidak sehaluan atau tiada kepercayaan sebagai pasangan gandingan.

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien Keat berkata, jurulatih juga tidak perlu menentukan hala tuju mereka sebaliknya ia adalah keputusan mereka berdua.

Namun pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar itu menyokong pandangan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk mereka memutuskan perkara itu.

"Sekarang bukan masa yang sesuai sebab tak lama lagi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula April tahun depan. Hanya ada sembilan bulan saja lagi.

"Tapi bagi saya mereka yang perlu tentukan dan lebih tahu sama ada ia sesuai atau tidak.

"Kalau saya jurulatih pun, saya hanya boleh bagi pandangan saja dan keputusan terpulang kepada mereka," katanya.

Keupayaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu mula menjadi persoalan apabila gagal merangkul kejuaraan ketika di Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.

Kegagalan itu meneruskan kemarau kejuaraan mereka sejak digandingkan pada 2017.

Pencapaian terbaik kedua-dua pemain itu setakat ini adalah lapan kali muncul naib juara termasuklah pada saingan Kejohanan Badminton Asia, bulan lalu, Terbuka Thailand 2020 dan Seluruh England 2019.

Kien Keat yang memenangi gelaran Seluruh England 2007 dan pingat emas Sukan Asia 2006 bersama Tan Boon Heong berkata, apa yang perlu dilakukan Aaron-Wooi Yik sekarang adalah mencipta satu 'senjata' yang mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk mengatasi setiap lawan yang ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 5:08 PM