JAHABERDEEN (tengah), Pengarah BSS, Pattapol Ngernsrisuk (dua dari  kiri) dan Razif (kiri) bergambar ketika sidang media di Axiata Arena, hari ini. FOTO Bernama
JAHABERDEEN (tengah), Pengarah BSS, Pattapol Ngernsrisuk (dua dari kiri) dan Razif (kiri) bergambar ketika sidang media di Axiata Arena, hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mengorak langkah dalam misi membangunkan bakat muda apabila menjalin kerjasama dengan Sekolah Badminton Ban Thong Yord (BSS) yang berpangkalan di Bangkok, Thailand.

Kerjasama membabitkan tempoh lima tahun bermula 2022 hingga 2026 di mana KLBA akan menghantar lima pemain terbaik persatuan ke kelab itu selama sebulan.

Menurut Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berharap ia permulaan baik buat persatuan yang mahu melahirkan pemain lebih berkualiti selaras dengan misi barisan kepimpinan baharu untuk memperkasa program pembangunan.

"Kita berharap untuk bekerjasama lebih banyak lagi dengan kelab kelab badminton dari luar negara dengan hasrat berkongsi idea dan pandangan terutama sistem latihan pemain muda kita dan pada masa yang sama menyuntik idea baharu kepada barisan kejurulatihan," katanya.

BSS kelab badminton yang pertama ditubuhkan di Thailand pada 1991 dengan melahirkan jaguh badminton Thailand iaitu Ratchanok Intanon dan Kunlavut Vitidsarn.

Idea menjalin kerjasama itu hasil cetusan idea Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan KLBA, Datuk Razif Sidek ketika membuat kunjungan ke Thailand empat tahun lalu.

"Razif pernah berkunjung ke sana dan mendapati sistem latihan digunapakai kelab ini sangat bagus. Memang dari dahulu lagi kami cuba untuk menerokai peluang bekerjasama dengan kelab-kelab persendirian di luar negara, dan ini peluang terbaik buat kami.

"Kami akan melancarkan satu lagi program iaitu Jejak Juara tidak lama lagi, dan di bawah program tersebut akan ada Biasiswa Presiden, di mana ia akan digunakan untuk hantar 3 atau 4 pemain ke kelab ini berlatih," jelas Jaharbedeen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 6:11 PM