JAHABERDEEN (kanan) berkata matlamat KLBA adalah untuk melahirkan pemain-pemain Kuala Lumpur yang berkualiti. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Kuala Lumpur
JAHABERDEEN (kanan) berkata matlamat KLBA adalah untuk melahirkan pemain-pemain Kuala Lumpur yang berkualiti. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Kuala Lumpur
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Misi untuk melahirkan permata baharu dalam arena badminton di Malaysia terus diperkukuhkan oleh Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menerusi pelan jangka panjang yang digelar Projek Jejak Juara 2022-2027.

Presiden KLBA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunos berkata, Projek Jejak Juara akan berlangsung bermula tahun ini sehingga 2027 dan badan induk itu sudah menyusun atur setiap program pembangunan yang akan digunapakai.

"Kita memiliki pemain-pemain yang berpotensi tetapi matlamat kami adalah untuk melahirkan pemain-pemain Kuala Lumpur yang berkualiti.

"Setiap pemain akan memiliki data tersendiri dan ia akan digunakan untuk menganalisa kekuatan dan penambaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan dari segi teknikal dan juga mental mereka dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Projek Jejak Juara dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin di Dewan Utama, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Projek yang dirangka untuk tempoh lima tahun itu mensasarkan pelajar-pelajar seawal usia 10 tahun di 294 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Projek Jejak Juara turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL).

Empat sekolah dipilih sebagai lokasi Pusat Latihan Daerah (PLD); SMK Kepong Baru (PLD Sentul), SMK Sri Pantai (PLD Bangsar), SMK Seri Bintang Selatan (PLD Pudu) dan SMK Wangsa Melawati (PLD Keramat) dengan jurulatih akan ditempatkan untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pemain.

Jurulatih akan dipantau oleh ketua jurulatih Projek Jejak Juara bagi memastikan objektif yang ditetapkan tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:07 PM