DATUK Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos. FOTO KLBA
DATUK Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos. FOTO KLBA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) akan memanfaatkan empat buah sekolah yang dijadikan pusat latihan sukan itu sebagai medan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi membabitkan peserta di seluruh ibu negara.

Menurut Presiden KLBA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos, sekolah yang akan terbabit sebagai pusat latihan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru, SMK Sri Pantai, SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Wangsa Melawati, setelah mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Empat pusat latihan ini mampu menempatkan kira-kira 3,000 hingga 5,000 berbanding sebelum ini hanya terdapat satu pusat latihan di KLBA yang menampung sehingga 80 peserta. Kita akan melibatkan peserta dari 292 buah sekolah di seluruh Kuala Lumpur," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Badminton Tertutup Jejak Juara 2023, semalam.

Ujar Jahaberdeen, dengan adanya pusat latihan itu ia memberi peluang kepada guru di sekolah itu sendiri untuk menjadi jurulatih dan mengambil sijil kejurulatihan badminton yang diiktiraf oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kejohanan Badminton Tertutup Jejak Juara 2023 yang berlangsung pada 20 hingga 28 Mei ini akan membabitkan acara perseorangan lelaki dan perempuan bagi kategori umur bawah 8, 10, 12, 14, 16 dan 18 tahun.

"Kejohanan ini adalah inisiatif KLBA menerusi Projek Jejak Juara 2022 – 2027 yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu. Projek Jejak Juara ini salah satu program 'blue print' KLBA di mana ia mempunyai empat elemen utama iaitu Pembangunan, Kejohanan, Biasiswa Presiden dan Akademi Badminton Antarabangsa KL.

"KLBA dengan Kerjasama pihak JPWPKL berhasrat ingin memecahkan records Malaysia dengan mendaftarkan Kejohanan ini di Malaysian Book of Records sebagai pemegang rekod Pertandingan Badminton Terbesar (Largest Badminton Tournament) di Malaysia sekiranya jumlah penyertaan pemain mencecah 3500 peserta," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 9:13 PM