JAHABERDEEN (tengah) ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun bersama Guangdong BA. FOTO KLBA
JAHABERDEEN (tengah) ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun bersama Guangdong BA. FOTO KLBA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas enam tahun menunggu, Arena Badminton DBKL Cheras yang mengambil alih tapak Stadium Badminton Kuala Lumpur dijangka boleh digunakan sepenuhnya tahun hadapan.

Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos turut berharap Arena Badminton berkenaan yang akan menjadi Akademi Badminton KLBA akan dapat digunakan oleh barisan pemain yang bernaung di bawah KLBA selepas ini.

Bagaimanapun masih ada perbincangan yang perlu dilakukan oleh KLBA bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum diserahkan sepenuhnya kepada KLBA.

"Insya-Allah barisan pemain boleh berpindah ke akademi berkenaan dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

"Selesai saja segala perbincangan dan rundingan dengan DBKL kita akan boleh anjurkan lebih banyak acara di sana.

"Dengan adanya akademi berkenaan banyak perkara yang boleh dilakukan bukan saja menganjurkan pertandingan badminton malah pembangunan akar umbi juga dapat dijalankan termasuklah memperluaskan program jejak juara," katanya.

Kompleks badminton 12 gelanggang itu bertempat di Taman Pertama, Cheras di Kuala Lumpur.

Ia membabitkan 10 gelanggang latihan, dewan serbaguna berkapasiti 450 orang, gimnasium, kafeteria, surau (bilik solat) dan tempat letak kenderaan yang luas.

Kompleks bernilai RM20 juta itu adalah kerjasama antara DBKL dan Mah Sing Group Bhd dan akan diuruskan oleh DBKL.

Jahaberdeen memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun bersama Guangdong BA di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pada majlis berkenaan Jahaberdeen memaklumkan jalinan kerjasama itu akan membabitkan pertukaran pemain dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

"Saya harap kerjasama ini dapat mempertingkatkan mutu permainan dari segi kepantasan, skil dan mental.

"Saya mahu pemain kita belajar sesuatu dari mereka di Guangdong BA terutama cara mengendalikan kekuatan mental kerana Guangdong cukup dikenali menghasilkan pemain bertaraf dunia seperti Fu Hai Feng," katanya.

Untuk rekod Ia adalah kerjasama kedua KLBA bersama kelab luar yang sebelum ini turut pernah menandatangani MoU persefahaman bersama kelab dari Thailand, Banthongyord.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:56 PM