Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berkelana jauh beribu batu di Eropah bukan penghalang kepada pemain hoki negara, Arif Sabron untuk menjalani ibadah puasa.

Sebaliknya Arif berasakan ia sebagai cabaran terutama sekali apabila ini kali pertama dia berpuasa di luar negara dan mengharungi aksi kompetitif sepanjang Ramadan.

Bekas pelatih skuad kebangsaan itu ketika ini berada di Itali menyertai kelab Butterfly Roma HCC beraksi di liga utama di sana.

"Puasa adalah ibadah dan kita hanya nikmatinya sebulan sahaja setiap tahun. Jadi bagi saya rugi kalau meninggalkan ibadah puasa.

"Keluarga sentiasa melatih saya berpuasa penuh sejak zaman kanak-kanak, jadi sampai sekarang nak tinggal puasa pun saya takut sebab keluarga terutama mak dan ayah tegas dalam soal ini," katanya.

Justeru untuk menyesuaikan diri pada Ramadan, Arif yang beraksi di posisi penyerang berkata, dia melakukan latihan ringan sebelum berbuka seperti berjoging bagi mengekalkan tahap stamina dan menyediakan sendiri juadah berbuka.

CABARAN Arif berpuasa di negara orang sepanjang Ramadan.
CABARAN Arif berpuasa di negara orang sepanjang Ramadan.

"Rutin harian saya ketika Ramadan sama macam di Malaysia seperti menjalani latihan ringan sebelum sertai sesi latihan di padang selepas berbuka puasa.

"Sebab itu saya tak ada masalah berpuasa, cuma kena susun jadual harian dengan baik.

"Saya tak nafikan berpuasa kali ini mencabar kerana selain kali pertama berpuasa di negara orang, saya juga menghadapi aksi liga bersama pasukan.

"Saya cuba berbincang dengan pengurus dan jurulatih supaya mereka memahami situasi ini. Mungkin saya minta sedikit kelonggaran dengan kerap menukarkan saya pada aksi liga," katanya.

Bekas pemain Hockademy di saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) itu bakal beraksi bersama Butterfly Roma sehingga 15 Jun sekali gus bermakna turut menyambut hari raya di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:45 AM