ZII Jia dikatakan menerima kontrak lumayan. FOTO Agensi
ZII Jia dikatakan menerima kontrak lumayan. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dikatakan cuba bermain 'wayang' dengan mengatakan bahawa duit bukan faktor utama dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pemain nombor satu negara itu menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan yang menjadi punca utama dia mahu meninggalkan badan induk itu selain daripada tekanan yang diterima.

Menurut sumber, juara Seluruh England itu ditawarkan kontrak lumayan AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun untuk tempoh lima tahun dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM8.37 juta.

Sumber berkata, tekanan itu hanyalah alasan buat Zii Jia bagi membolehkan dia bergerak secara profesional dan meninggalkan BAM.

"Tekanan itu hanya alasan saja. Cuba fikir, mana ada pemain yang nak keluar BAM ketika dia sedang meningkat naik melainkan dia dapat tawaran lumayan seperti itu.

"BAM ada kemudahan terbaik. Kalau betul dia nak jadi jaguh dunia, alasan tekanan itu memang tak boleh diterima," kata sumber.

Zii Jia, 23, sebelum ini menegaskan bahawa ada sesuatu yang mendorongnya membuat keputusan untuk meninggalkan BAM dan ia bukan disebabkan duit.

Pemain berasal dari Alor Setar Kedah itu bagaimanapun akan menjelaskan kemelut yang dihadapinya dalam masa terdekat selepas BAM membuat pengumuman mengenai peletakan jawatannya sebagai pemain kebangsaan.

Terdahulu Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia sebagai pemain kebangsaan 11 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 4:56 PM