Gandingan Wooi Yik (kanan) dan Nur Izzuddin Rumsani berdepan beregu Kanada. FOTO Ihsan BAM
Gandingan Wooi Yik (kanan) dan Nur Izzuddin Rumsani berdepan beregu Kanada. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Percaturan memecahkan beregu utama negara Aaron Chia-Sooh Wooi Yik ketika pertemuan menentang Kanada dalam aksi Kumpulan D Piala Thomas dilihat sebagai satu strategi pasukan.

Malah bagi Aaron, dia percaya Malaysia tetap mempunyai kelebihan jika menurunkan gandingan yang sama apabila berdepan Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan bagi menentukan juara dan naib juara kumpulan esok.

Aaron berkata, dia tidak mempunyai masalah dan menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan dengan siapa akan digandingkan apabila bertemu Jepun nanti.

"Ini adalah satu daripada strategi pasukan (pecahan pemain). Sama ada saya akan kembali bergandingan dengan Wooi Yik atau tidak nanti saya rasa kita tetap mempunyai kelebihan.

"Saya juga tidak mempunyai masalah jika sekali lagi bergandingan bersama (Goh) Sze Fei kerana kami pernah bersama sebelum ini.

"Apa yang penting adalah menang ke atas Jepun dan menghadiahkan mata buat negara," kata Aaron yang meraih gangsa di temasya Olimpik bersama Wooi Yik Julai lalu.

Aksi perseorangan utama negara, Lee Zii Jia. FOTO Ihsan BAM
Aksi perseorangan utama negara, Lee Zii Jia. FOTO Ihsan BAM

Pada aksi pertemuan menentang Kanada, Aaron digandingkan bersama Sze Fei manakala Wooi Yik bersama Nur Izzuddin Rumsani yang mana kedua-dua mereka tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan mata buat negara seterusnya menang 5-0.

Jepun turut menggunakan pendekatan yang sama iaitu menyenaraikan gandingan pecahan ketika bertemu Kanada yang menyaksikan mereka menang 4-1, Ahad lalu.

Sementara itu, tumpuan sekali lagi akan tertumpu kepada pertembungan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang dijangka akan berdepan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Ia akan menjadi pertemuan ketiga buat kedua-dua pemain itu selepas dua kali bertemu di Piala Sudirman di Vantaa, Finland, dua minggu lalu yang mana menyaksikan Momota menang ke atas Zii Jia di peringkat kumpulan dan Zii Jia menebus kekalahan itu di peringkat separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:18 PM