LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain semakin lesu dan tiada ketahanan fizikal yang kuat menyebabkan mereka gagal mengekalkan momentum dalam setiap perlawanan sekali gus gagal menempah tiket final kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, situasi sama berulang pada setiap kejohanan yang disertai pemain negara apabila prestasi mereka lebih dipengaruhi oleh kekuatan fizikal.

Beliau berkata, walaupun gagal meraih sebarang kejayaan di pertandingan itu, namun kini tumpuan mereka terarah kepada Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Katanya, BAM tidak meletakkan sebarang sasaran namun berharap barisan pemain bangkit dengan mencipta keputusan positif sebagai 'hadiah' penutup kalendar kejohanan tahun ini.

"Rata-rata pemain nampak lesu selepas menyertai pertandingan bertubi-tubi, Namun, ia sebenarnya penting untuk mereka tampil lebih kuat pada kejohanan akan datang.

"Apa yang saya lihat adalah mereka kurang fokus dan tiada ketahanan fizikal seperti yang berlaku kepada pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia sekali gus hilang momentum.

"Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula dilihat cuba mengatasi kelemahan masing-masing namun sering tunduk kepada pasangan dari Jepun dan Korea Selatan. Perkara ini kita akan lihat nanti selepas kejohanan di Sepanyol," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pertarungan wakil negara di pentas kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF berakhir di peringkat separuh akhir apabila semuanya tewas di tangan lawan masing-masing semalam.

Zii Jia terus kempunan untuk layak ke final selepas tunduk kepada wakil Thailand Kunlavut Vitidsarn.

Pertarungan yang berlangsung di Bali itu menyaksikan Zii Jia tewas straight set kepada pemain di ranking 21 dunia itu 18-21,18-21.

Nasib malang turut menimpa beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur kepada lawan mereka.

Beregu lelaki negara itu tewas kepada pasangan dari Jepun yang berada di ranking 15 dunia Takuro Hoki-Yugo Kabayashi 18-21,15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:22 PM