SHEVON (kanan) ketika bertanding pada Terbuka Perancis. FOTO Instagram bwfofficial
SHEVON (kanan) ketika bertanding pada Terbuka Perancis. FOTO Instagram bwfofficial
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Selepas lima minggu bertanding di Eropah termasuk menyertai kejohanan Piala Sudirman dan Piala Thomas, pemain badminton negara sama ada dari skuad kebangsaan mahupun pemain bebas kini 'berkampung' di Bali, Indonesia bagi menyertai tiga kejohanan berturut-turut di pulau peranginan terkenal itu.

Bermula dengan Masters Indonesia minggu depan (16-21 November), ia disusuli Terbuka Indonesia (23-28 November) dan diakhiri dengan Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF (1-5 Disember).

Semua tiga kejohanan itu dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali di Nusa Dua.

Pemain beregu profesional Shevon Lai menceritakan pengalaman menarik di Jakarta selepas mendarat susulan penerbangan jauh dan memenatkan dari Istanbul sesudah bertanding pada Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman.

"Satu pengurusan yang hebat sebaik kami mendarat di Jakarta. Sebaik tiba, ada staf yang menunggu kami di pintu pesawat dan selepas menjalani ujian PCR dan urusan di imigresen kami dibawa ke bilik hotel untuk berehat sebelum berlepas ke Bali. Kami terpisah dengan setiap orang dan berasa amat selamat. Memang urusannya amat menyenangkan kami.

"Di Bali, kami menginap di hotel rasmi kejohanan Westin Resort Nusa Dua. Satu hotel yang amat bagus dengan bilik yang selesa, kali pertama bagi saya mendapat hotel dengan ruangan tempat simpanan bagasi yang amat luas," katanya dalam laman Instagram.

Shevon sudah bergandingan dengan Goh Soon Huat selama lima tahun.

Bagi memenuhi masa lapang, pemain negara yang turut bertanding pada Terbuka Denmark di Odense dan Terbuka Perancis di Paris sebelum ini, dilihat bermain pingpong, snuker, dart selain berjoging untuk mengekalkan stamina di luar hotel yang terletak di tepi pantai itu.

Pada Masters Indonesia, yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$600,000 (RM2.49 juta), Soon Huat-Shevon berdepan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau pada pusingan pertama, pilihan kelima Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menentang satu lagi beregu Jerman, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler manakala Ho Pang Ron-Cheah Yee See membuka tirai bertemu Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki dari Jepun.

Dalam perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang sekadar muncul naib juara Terbuka Hylo selepas mengalami kecederaan belakang, dijadual bertemu pemain Denmark, Rasmus Gemke pada pusingan pertama.

PERKONGSIAN Shevon di laman sosial. FOTO Instagram shevonlai
PERKONGSIAN Shevon di laman sosial. FOTO Instagram shevonlai

Tidak diketahui ketika ini sama ada dia akan menarik diri susulan kecederaan itu.

Dalam acara beregu lelaki, Malaysia mempunyai lima wakil dalam undian utama diketuai pilihan kelima Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Empat lagi adalah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Ramsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Low Juan Shen.

Cabaran beregu wanita diketuai pilihan kelapan Pearly Tan-M Thinaah yang bagaimanapun diundi bertemu pasangan senegara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pada pusingan pertama.

Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen pula menentang beregu Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau. Ketika pemain senior kebangsaan dan pemain bebas 'berkampung' di Bali, pemain remaja negara meneruskan cabaran pada kejohanan Terbuka Ireland di Dublin (17-20 November).

Cabaran skuad remaja dikibar Ng Tze Yong, yang menjuarai kejohanan Antarabangsa Belgium di Leuven dua minggu lalu dan diletakkan sebagai pilihan keenam dalam perseorangan lelaki manakala Soong Joo Ven pilihan ketujuh.

Man Wei Chong-Kai Wun Tee, yang muncul juara beregu lelaki Terbuka Poland (Mac) dan Antarabangsa Sepanyol (Jun) selain naib juara Terbuka Czech dua minggu lalu, tampil sebagai pilihan keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:48 PM