SHEVON (kanan) dan Soon Huat tewaskan pasangan nombor 10 dunia.
SHEVON (kanan) dan Soon Huat tewaskan pasangan nombor 10 dunia.
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie membuat kejutan apabila menewaskan pasangan nombor 10 dunia Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Korea semalam.

Beregu campuran kedua negara itu menunjukkan kematangan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan rakan sepasukan 24-26, 21-18, 21-18 bagi memastikan kemaraan ke suku akhir pertama mereka dalam saingan Siri Super.

“Rasa gembira kerana kemenangan ini membuktikan persembahan kami juga meningkat,” kata Shevon ketika dihubungi di Seoul.

“Bagi Soon Huat dan saya, kemenangan ini juga suntikan semangat kerana Kian Meng-Pei Jing jauh lebih baik daripada kami.”

Pemenang perak Sukan SEA Kuala Lumpur itu akan bertemu pencabar pusingan kelayakan, Marvin Emil Seidel-Linda Efler dari Jerman untuk tiket ke separuh akhir esok.

Turut mara ke kelompok lapan terbaik ialah Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang meneruskan rentak kemenangan dengan kemenangan 16-21, 21-18, 21-16 ke atas pilihan kedua Chris dan Gabriel Adcock dari England.

Peng Soon-Yee See akan bertemu pemain Korea Selatan Seo Seung Jae-Kim Ha Na di suku akhir.

Bagaimanapun, cabaran beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan wanita, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi sudah berakhir .

Yew Sin-Ee Yi, tewas 16-21, 20-22 kepada beregu Indonesia Marcus Gideon Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo manakala Fie Cho-Jing Yi kecundang 7-21, 17-21 di tangan Huang Yaqiong-Yu Xiaohan dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 7:52 AM