SZE Fei-Nur Izzuddin berpeluang tambah koleksi kejuaraan. -FOTO Badminton Photo
SZE Fei-Nur Izzuddin berpeluang tambah koleksi kejuaraan. -FOTO Badminton Photo
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berpeluang untuk menambah koleksi kejuaraan selepas mara ke final Terbuka Switzerland.

Gandingan negara yang diletakkan selaku pilihan kelapan itu menempah tiket final selepas menewaskan pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 21-18 21-18 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.

Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan peningkatan prestasi sejak akhir-akhir ini apabila mereka berjaya muncul Juara Terbuka Jerman yang juga gelaran sulung mereka dalam saingan Jelajah Badminton Dunia.

Bagaimanapun mereka terkandas seawal pusingan pertama Seluruh England minggu lalu berikutan kecederaan dialami Izzuddin.

Pada aksi final hari ini, gandingan negara itu berdepan aksi getir apabila akan bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Turut mara ke pentas final adalah beregu profesional campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Mereka melakukannya selepas menewaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-17, 24-22 pada aksi separuh akhir.

Soon Huat-Shevon akan bertemu gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau pada aksi final hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 8:55 AM