AKSI beregu negara, Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi ketika menentang Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
AKSI beregu negara, Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi ketika menentang Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Lima daripada 11 wakil negara yang turun pada pusingan pertama di Terbuka Malaysia, hari ini, berjaya menempah tiket ke pusingan kedua.

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertemuan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berdepan beregu muda, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri.

Kedua-dua gandingan itu mendapat sokongan padu penyokong tempatan yang kembali membanjiri lokasi perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas dua tahun kejohanan itu tidak diadakan.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, tahun lalu itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Junaidi-Haikal yang dikenali dengan julukan Patatimo dengan kemenangan straight set 21-19, 21-13 dalam tempoh 30 minit.

Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi mengakui beregu muda negara itu mempunyai potensi cerah untuk menyerlah di masa depan.

"Mereka ada potensi untuk pergi jauh dan kombinasi mereka juga baik. Tapi kena ada pengalaman lebih banyak di peringkat antarabangsa untuk mereka pergi jauh.

"Mereka masih muda dan ini pengalaman baik apabila dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri di dalam stadium ini dan pastinya mereka teruja," kata Ee Yi.

Bagaimanapun, laluan getir menanti Yew Sin-Ee Yi apabila akan menentang juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin yang juga pilihan keempat kejohanan di pusingan kedua, Khamis ini.

Turut mengiringi Yew Sin-Ee Yi dalam acara beregu lelaki adalah Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong yang menewaskan pasangan Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede 18-21 21-15 21-17 dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menang ke atas beregu Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-12, 21-12.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai turut cemerlang apabila menewaskan rakan senegara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-18, 19-21, 21-18 sementara Low Yeen Yuan-Valeree Siow dalam acara beregu wanita menewaskan wakil Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau 17-21, 21-16, 21-19.

Begitupun, seperti Yew Sin-Ee Yi, Yeen Yuan-Valeree Siow dijangka berdepan kesukaran di pusingan kedua apabila bertemu pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dari China yang juga pilihan pertama, Chen Qing Chen-Jai Yi Fan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 9:33 PM