WYMAN mengakui kedudukannya dalam kumpulan masih belum selamat dan perlu pastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
WYMAN mengakui kedudukannya dalam kumpulan masih belum selamat dan perlu pastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perebutan kedudukan teratas bagi perseorangan lelaki di 100Plus Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir kini semakin sengit membabitkan saingan tiga pemain, Wyman Goh, Ong Ken Yon dan Justin Hoh yang berkongsi dua mata selepas tamat tiga perlawanan.

Kedudukan semasa perseorangan lelaki kini dipegang Wyman Goh selepas menundukkan pendahulu hari pertama, Ong Ken Yon dengan kemenangan straight set 21-11, 21-17.

"Corak serangan saya masih lemah dan pemain pemain remaja ini tampak bermain tanpa tekanan sebaliknya pemain senior lebih tertekan.

"Kedudukan saya dalam kumpulan masih belum selamat dan perlu pastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya jika mahu kekalkan kedudukan," kata Wyman Goh.

Manakala perebutan bagi saingan wanita juga tidak kurang hebat membabitkan Eoon Qi Xuan dan K Letshaana yang terus unggul di dua teratas perseorangan wanita.

Eoon Qi Xuan melakar kemenangan kedua berturut turut untuk mengumpul dua mata selepas menang ke atas Myisha Mohd Khairul straight set 21-12, 21-12 sekali gus kekal selaku pendahulu manakala Letshaana terus mengekori di belakang berkongsi dua mata selepas mudah menundukkan Tan Zhing Yi 21-7, 21-13.

Kejutan berlaku dalam acara beregu lelaki yang menyaksikan Muhd Haikal Nazri-Wan Muhd Arif Wan Junaidi bangkit daripada kekalahan untuk melakar kemenangan 15-21, 21-16, 21-19 ke atas beregu senior, Choong Hon Jian-Nur Firdaus Azman.

Selepas melakar satu kemenangan dan satu kekalahan, Arif dan Haikal menghuni tangga kedua, berkongsi 1 mata dengan Hon Jian dan Firdaus yang berada di kedudukan ketiga.

"Semalam kami tidak berikan yang terbaik tetapi hari ini kami lebih yakin dan fokus serta turun tanpa sebarang tekanan.

"Kami hanya mahu menikmati perlawanan dengan sebaik mungkin dan mahu buktikan kepada jurulatih kami mampu menewaskan pemain senior,"kata Wan Muhd Arif.

Haikal dan Arif perlu menang dalam aksi terakhir esok menentang rakan sepasukan, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe untuk memastikan kedudukan kedua menjadi milik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 9:20 PM