AASRON Chia (kanan) dan Wooi Yik tumpas kepada pasangan Thailand, Maneepong-Nanthakarn.
AASRON Chia (kanan) dan Wooi Yik tumpas kepada pasangan Thailand, Maneepong-Nanthakarn.
Ferzalfie Fauzi


MARA ke perlawanan akhir kejohanan Cabaran Antarabangsa India memberikan satu petanda positif buat pasangan beregu lelaki muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik walaupun mereka tumpas kepada pasangan Thailand, Maneepong Jongjit-Nanthakarn Yordphaisong.

Kedua-duanya digandingkan sejak lebih sebulan lalu dan baru menyertai dua kejohanan setakat ini, termasuk kali pertama di Cabaran Antarabangsa Malaysia, bulan lalu.

Bagaimanapun, apa yang ditonjolkan Aaron-Wooi Yik setakat ini memberikan sinar buat pasukan beregu lelaki negara yang berada pada tahap untuk pengstrukturan semula baik di peringkat senior atau pelapis.

Menurut jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak, pasangan muda negara itu dilihat mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh jika berjaya mengekalkan komitmen dalam latihan.

“Saya akan memberikan laporan kepada Cheah Soon Kit (ketua jurulatih beregu lelaki negara) untuk tindakan selanjutnya dan perancangan masa depan mereka,” kata Rosman.

Dalam perlawanan akhir semalam, Aaron-Wooi Yik ternyata masih kurang pengalaman dan berada dalam situasi tertekan selepas tumpas mudah, 6-21, 9-21 di Kelab Kriket India, Mumbai.

Aaron yang berusia 20 tahun sebelum ini pernah muncul naib juara Siri Antarabangsa Switzerland, tahun lalu ketika bergandingan bersama Wong Wai Jun dan ketika itu, mereka tumpas kepada gandingan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Ketika di Kejohanan Remaja Dunia 2015 di Lima, Peru, Aaron-Wooi Yik mara sehingga ke pusingan keempat sebelum tumpas kepada Lee Hong Sub-Lim Su Min dari Korea Selatan, 17-21, 11-21.

Wooi Yik yang berusia 19 tahun pula pernah meraih gangsa di Kejohanan Remaja Asia 2016 di Bangkok ketika berpasangan dengan Ooi Zi Heng.

Ketika ini, skuad beregu lelaki pelapis negara berada mempamerkan peningkatkan memberangsangkan apabila Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selepas muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 9:03 PM