Reezal Merican (kanan) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan BAM. FOTO FB Datuk Seri Reezal Merican Naiana Merican
Reezal Merican (kanan) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan BAM. FOTO FB Datuk Seri Reezal Merican Naiana Merican
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naiana Merican mengakui betapa dia mengagumi semangat juang yang dipamerkan oleh pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Malah beliau turut menggelarkan Zii Jia sebagai 'kaw-kaw' kerana semangat juang yang dipamerkan oleh pemain kelahiran Kedah itu.

Katanya, semangat juang Zii Jia yang kini menduduki ranking kelapan dunia amat luar biasa sama seperti yang dipamerkan oleh juara Terbuka Swiss, Pearly Tan M Thinaah.

"Saya panggil Zii Jia ni 'kaw-kaw' sebab tempoh hari dia menelefon saya dan berkata dia main 'kaw-kaw'. Semangat kaw-kaw dia ni lain macam dan kita boleh lihat dia tak mudah goyang.

"KJ (Menteri Sains, teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar) antara yang pertama mesej saya kata semangat juang Zii Jia ini lain macam walaupun lawan yang lebih tinggi macam (Viktor) Axelsen.

"Dia juga ada ketinggian, ketangkasan, hensem, smash yang kuat dan daya ketahanan dia yang tinggi dan saya harap dia akan jadi lebih baik selepas ini," katanya selepas pertemuan khas bersama Zii Jia, Pearly dan Thinaah.

Zii Jia dinobatkan juara Seluruh England selepas menewaskan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Pada majlis itu juga, Reezal turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pendekatan berani badan induk itu dalam memberi pendedahan kepada pemain muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 8:25 PM