PEMAIN tenpin boling negara yang berlatih di pusat beli-belah tidak dibenarkan menjalani latihan sepanjang tempoh PKPB.
PEMAIN tenpin boling negara yang berlatih di pusat beli-belah tidak dibenarkan menjalani latihan sepanjang tempoh PKPB.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet kebangsaan yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan menjalani latihan menggunakan pendekatan kuarantin di pusat latihan ditetapkan tanpa terdedah kepada luar.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi atlet tidak menetap di pusat latihan seperti skuad tenpin boling negara yang berlatih di pusat beli-belah tidak dibenarkan menjalani latihan sepanjang tempoh PKPB.

''Atlet hanya dibenar berlatih di pusat latihan secara 'quarantine based approach' dan mereka tidak boleh keluar, seperti kuarantin juga.

''Kalau seperti (latihan boling) di Sunway Pyramid tidak dianggap sebagai latihan berpusat secara kuarantin kerana selepas latihan mereka keluar dan melalui pusat beli-belah dan sebagainya,'' katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan latihan atlet boleh diteruskan di pusat-pusat latihan yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) seperti di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara; dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

Sukan individu, sukan tidak bersentuhan dan sukan di kawasan terbuka tidak melebihi 10 orang seperti berjalan, berlari, berbasikal dan senamrobik masih dibenarkan kepada orang ramai di kawasan PKPB.

Sementara aktiviti kolam renang, sukan bersentuhan fizikal, sukan tempur dan sukan dalam dewan, serta penganjuran sukan atau kejohanan adalah tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:33 PM