PEMAIN kebangsaan, Rafiq Ismail ketika beraksi di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. FOTO NSTP
PEMAIN kebangsaan, Rafiq Ismail ketika beraksi di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Penantian berakhir buat pemain tenpin boling negara selepas mereka diberikan lampu hijau untuk kembali menjalani latihan di Sunway Mega Lanes, Subang Jaya bermula esok.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok perkara berkenaan disampaikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ini memang satu berita yang ditunggu-tunggu atlet negara. Sekarang kami sudah dapat kembali menjalani latihan dan fokus terarah kepada persiapan menghadapi kejohanan," katanya.

Ujarnya, skuad tenpin boling negara sudah lebih sebulan setengah tidak berlatih kerana menjalani kuarantin sejak 27 September susulan seorang pekerja di salah sebuah kedai dalam Sunway Pyramid didapati positif Covid-19.

Sejak kerajaan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada 14 Oktober lalu, skuad tenpin boling tidak dibenarkan meneruskan latihan.

Ini kerana, latihan yang diadakan di pusat membeli belah itu tidak boleh dianggap sebagai berkuarantin seperti yang dibenarkan terhadap latihan yang dijalankan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 8:07 PM