Jefri Ngadirin. FOTO File NSTP
Jefri Ngadirin. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tiada halangan buat atlet negara meneruskan latihan seperti biasa terutama membabitkan sukan tempur atau sukan air.

Biarpun Prosedur Operasi Standard (SOP) sudah dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ia tidak menjejaskan latihan semua atlet negara.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, semua atlet negara mendapat pengecualian.

"Mereka sudah mendapat kelulusan khas iaitu latihan berpusat yang menggunakan pendekatan kuarantin.

"Jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan dan mereka boleh meneruskan latihan seperti biasa tapi perlu mengikut SOP yang sudah ditetapkan," katanya.

Kesemua pusat latihan akan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) membabitkan Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Semua program latihan berpusat di bawah kelolaan MSN dan Majlis Sukan Negeri-Negeri dibenarkan untuk diteruskan sepanjang PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN adalah dilarang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 3:02 PM