OZIL disisihkan daripada skuad Arteta musim ini. FOTO Agensi
OZIL disisihkan daripada skuad Arteta musim ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsenal dilapor menolak bidaan £5 juta (RM27 juta) daripada Al-Nassr untuk mendapatkan khidmat Mesut Ozil.

Pemain tengah bergaji £350,000 (RM1.89 juta) seminggu itu tidak beraksi bersama skuad Mikel Arteta sejak 7 Mac lalu.

Menurut Tyc Sports, kelab Arab Saudi itu mahu menandatangani Ozil dengan kontrak dua tahun.

Tetapi Ozil menegaskan dia tidak bersedia menerima tawaran Al-Nassr. Dia enggan berpindah ke Asia walaupun 'dibekukan' oleh Arsenal.

Kelab utara London itu dijangka membuka kembali rundingan bagi mengurangkan gajinya £350,000 (RM1.89 juta) seminggu yang terkandung dalam kontrak pada Januari lalu.

Tetapi halangan utama mereka ialah Ozil dilaporkan mahu bayaran penuh £13 juta (RM70 juta) jika mahu dia meninggalkan Arsenal.

Laporan mendakwa dia mungkin berpindah ke kelab MLS.

Tetapi bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan Arteta masih boleh mengharapkan yang terbaik daripada Ozil.

Ozil yang berpindah dari Real Madrid dengan harga £42.5 juta (RM230 juta) tujuh tahun lalu tidak beraksi bersama Arsenal musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam 18 aksi Liga Perdana musim lalu malah gagal tampil dalam Liga Europa.

Bercakap mengenai masa depannya kepada The Athletic, dia berkata: "Banyak perkara menjadi lebih sukar tetapi saya sayang Arsenal. Saya akan tentukan bila saya akan pergi, bukannya orang lain. Saya melakukan apa sahaja untuk kelab ini.''

Gaji lumayan Ozil:

Setahun - £18 juta (RM97 juta)

Sebulan - £1.5 juta (RM8 juta)

Seminggu - £350,000 (RM1.89 juta)

Sehari - £50,000 (RM270,000)

Satu jam - £2,083 (RM11,000)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 11:56 PM