MANE (kiri) menjaringkan gol kedua Liverpool selepas kesilapan mudah dilakukan Kepa (tengah). FOTO AFP
MANE (kiri) menjaringkan gol kedua Liverpool selepas kesilapan mudah dilakukan Kepa (tengah). FOTO AFP
AFP

London: Jurang yang masih ada antara Liverpool dan Chelsea dibuktikan selepas juara bertahan itu mencatatkan kemenangan 2-0 di Stamford Brirdge dalam perlawanan yang turut menyaksikan nasib berbeza dua penjaga gol termahal di dunia.

Rekod perpindahan Alisson Becker £67 juta (RM356.9 juta) dari Roma ke Liverpool pada 2018 hanya bertahan tiga hari sebelum Chelsea membayar £72 juta (RM383.5 juta) untuk membeli Kepa Arrizabalaga dari Athletic Bilbao.

Selepas lebih dua tahun, tidak dinafikan lagi siapa lebih bernilai dengan Chelsea dilihat bersedia mengeluarkan perbelanjaan untuk menangani krisis penjaga gol dengan mensasarkan penjaga gawang Rennes, Edouard Mendy.

Kecuaian terbaharu Kepa apabila memberikan peluang terbuka kepada Sadio Mane menjaringkan gol keduanya.

"Jelas sekali sudah dua perlawanan dia melakukan kesilapan. Ketika pertemuan dengan Brighton juga dia melakukan kesilapan.

"Ia adalah kesilapan yang memberi kesan besar kepada kami.

"Kepa perlu bekerja keras. Dia perlu mendapat sokongan daripada orang sekelilingnya tetapi apa yang jelas dia sudah melakukan kesilapan," kata pengurus Chelsea, Frank Lampard.

Penjaga gol Sepanyol itu digugurkan sebanyak dua kali oleh Lampard musim lalu dan menggantikannya dengan Willy Caballero.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:00 PM