ARRIZABALAGA menerima rawatan selepas mengalami kecederaan ketika menentang City. - FOTO Reuters
ARRIZABALAGA menerima rawatan selepas mengalami kecederaan ketika menentang City. - FOTO Reuters
Agensi

“IA sudah berlaku dan saya memohon maaf kepada peminat. Saya akan belajar daripada episod ini dan sedia menerima sebarang hukuman atau tindakan disiplin yang kelab rasakan perlu,” menurut penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea turut berharap permohohan maaf Arrizabalaga itu dapat meredakan kontroversi dicetuskan penjaga gol itu yang turut didenda seminggu gaji angkara kedegilannya ketika final Piala Liga, kelmarin.

Kepa mengalami kecederaan pada lewat permainan menentang Manchester City dan pengurus, Maurizio Sarri membuat keputusan menggantikannya dengan Willy Caballero.

Begitupun, penjaga gol Sepanyol itu enggan berganjak dan menegaskan dia perlu berada di atas padang sekali gus mencetus kemarahan Sarri sebelum Chelsea tewas 4-3 menerusi penentuan penalti.

Kelab itu mengeluarkan kenyataan Kepa dan Sarri dengan menyatakan mereka perlu mendapat peluang untuk bertenang selepas insiden berkenaan mendapat perhatian seluruh dunia.

“Saya amat gembira beraksi perlawanan final pertama saya untuk Chelsea dan amat berbangga dengan prestasi pasukan,” kata Kepa. “Banyak saya fikirkan mengenai perlawanan semalam.

“Sekali pun ada salah faham, tetapi saya melakukan kesilapan besar dengan cara saya menghadapi situasi berkenaan. Saya mahu mengambil sedikit masa hari ini untuk membuat permohonan maaf secara peribadi dengan jurulatih, kepada Willy, rakan sepasukan dan kelab.

Difahamkan, insiden berkenaan ‘menggoncang’ keharmonian bilik persalinan Chelsea dengan Caballero dikatakan berang dengan apa yang terjadi.

“Kepa dan saya sudah bercakap mengenai insiden itu, ia adalah perbincangan yang baik. Ada salah faham terhadap situasi semalam tetapi dia menyedari yang dia melakukan kesilapan besar dengan tindak balasnya.

“Dia sudah meminta maaf kepada saya, rakan sepasukan dan juga kelab. Kini bergantung kepada kelab jika mereka mahu mengambil tindakan disiplin mengikut peraturan mereka, tetapi bagi saya perkara itu sudah selesai.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 1:07 PM