MENDY berpeluang memperoleh ilmu dari Cech. FOTO AFP
MENDY berpeluang memperoleh ilmu dari Cech. FOTO AFP
AFP

London: Frank Lampard mendedahkan Petr Cech akan bekerjasama dengan penjaga gol baru Chelsea, Edouard Mendy dan Kepe Arrizabalaga yang sering melakukan kesilapan tatkala The Blues cuba untuk menyelesaikan masalah di bahagian penjaga gol.

Bekas penjaga gol Chelsea itu dilantik oleh kelab London berkenaan sebagai penasihat teknikal dan prestasi sejak bersara pada 2019.

Cech yang menamatkan kariernya di Arsenal, kelihatan baru-baru ini di pusat latihan Chelsea di Cobham bersama Kepa dan jurulatih penjaga gol, Henrique Hilario.

Lampard mengesahkan Cech ada mengambil bahagian dalam sesi latihan bukannya menggantikan Hilario dan ia adalah sebahagian daripada berkongsi pengalaman selepas penurunan prestasi Kepa.

Chelsea menandatangani Mendy dari kelab Perancis, Rennes awal minggu ini berikutan kesilapan yang dilakukan Kepa dalam dua aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton dan Liverpool.

Kepa, penjaga gol paling termahal di dunia, pernah diketepikan sebanyak dua kali oleh Lampard selepas melakukan kesilapan musim lalu dan kelihatan akan sekali lagi kehilangan tempatnya apabila Mendy boleh beraksi selepas perlawnan menentang West Bromwich Albion.

"Dapat menggunakan Petr di dalam latihan bersama penjaga gol dan berkongsi pengalaman yang dimilikinya adalah satu perkara yang baik. Beliau masih lagi mempunyai kualiti yang hebat, saya rasa dia bersara pada usia muda. Beliau sentiasa berlatih dan mengekalkan kecergasan, ia sangat bagus dari segi kesihatannya dan selain perkara yang baik buat penjaga gol.

"Petr mempunyai tugas lain tapi beliau juga bekerjasama dengan penjaga gol. Mengapa tidak memanfaatkan peluang berguru dengan penjaga gol terbaik dunia," kata Lampard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 11:57 AM