PEMAIN TFC II, Bruno Suzuki (jersi putih) diasak pemain Kuala Lumpur, Alif Samsudin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.  - FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC II, Bruno Suzuki (jersi putih) diasak pemain Kuala Lumpur, Alif Samsudin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


JUARA bertahan Piala Cabaran, Terengganu FC II (TFC) bermula langkah kanan selepas membenam Kuala Lumpur 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun, sepanjang 20 minit pertama aksi kedua-dua pasukan agak hambar dengan bola banyak berlegar di bahagian tengah.

Percubaan terbaik TFC II hanya dapat disaksikan pada minit ke-21 dan 22 menerusi rembatan pemain kelahiran Brazil, Bruno Suzuki namun sedikit tersasar.

Pelawat yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini juga memperoleh dua peluang menarik pada minit ke-30 menerusi tandukan Mohd Alif Samsudin dan Guilherme de Paula seminit kemudian tetapi gagal menembusi pintu gol tuan rumah yang dikawal Mohd Shamirza Yusof.

Pada masa kecederaan babak pertama, rembatan Suzuki dari dalam kotak penalti menerjah jaring gol sekali gus menceriakan kira-kira 300 peminat setia TFC II.

Tuan rumah berpeluang menambah jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Alif, tapi tendangan Suzuki berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohamad Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-56.

Bagaimanapun, enam minit berselang, pemain yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu menebus kesilapannya selepas meledak gol kedua menerusi sepakan mengelirukan hasil hantaran pemain Terengganu FC, Mohd Ashari Samsudin.

Pada minit ke-90, pelawat akhirnya mendapat jaringan menerusi rembatan kencang Paulo Josue namun sudah terlambat buat pasukannya mengelak kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 11:08 PM