Kabul: Sekurang-kurangnya enam maut dan puluhan lain cedera dalam letupan lori membawa bom yang menyasarkan pangkalan pasukan khas tentera Afghanistan, semalam.

Letupan itu yang terbaru dalam beberapa siri serangan oleh pemberontak Taliban dan sekutunya sejak tentera asing meninggalkan Afghanistan hujung tahun lalu.

Gabenor wilayah Logar, Aleem Fedaee berkata: “Bom itu besar dan dibawa lori kecil mengakibatkan kerosakan teruk serta mencederakan orang awam.

“Kesan letupan memecahkan tingkap di bangunan sejauh satu kilometer.”

Katanya, tiga askar dan tiga orang awam setakat ini dilaporkan maut.

Selain itu, 11 doktor di hospital berkenaan juga cedera dalam kejadian itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:41 PM