REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Lyon. FOTO Agensi
REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Lyon. FOTO Agensi
Agensi

CRISTIANO Ronaldo dilaporkan mendesak Juventus menandatangani bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema menjelang kempen 2020-2021.

Gergasi Itali itu menjuarai Serie A kali kesembilan berturut-turut musim ini tetapi disingkirkan Lyon dalam saingan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara sekaligus mengecewakan pengurusan kelab yang amat berharap dapat menamatkan kemarau kejuaraan selama 24 tahun.

Menurut Gazzetta dello Sport, Ronaldo menegaskan pihak pengurusan perlu membawa masuk Benzema untuk memacu kejayaan musim depan.

Kedua-dua bintang itu membentuk gandingan berbisa ketika Ronaldo beraksi di Madrid dan potensi gandingan mereka dengan Pablo Dybala sudah pasti menggerunkan mana-mana pasukan di Eropah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan hasrat itu dapat direalisasikan dengan Benzema tampak gembira di Sepanyol dan Madrid pula tidak mahu menjual pemain itu.

Walaupun sudah memasuki penghujung karier pada usia 32 tahun, Benzema kekal menjadi anggota penting skuad Zinedine Zidane musim ini dengan menjaringkan 21 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan untuk membantu kelab menjuarai La Liga.

Dia sudah bersama Real sejak 2009 dan tiada sebab berpindah selepas menjadi nadi Los Blancos.

Manakala Ronaldo sejak akhir-akhir ini dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona jika Juventus gagal memenuhi permintaannya untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 11:52 AM