Cristiano Ronaldo ketika beraksi bersama Juventus. FOTO AFP
Cristiano Ronaldo ketika beraksi bersama Juventus. FOTO AFP
Agensi

CRISTIANO Ronaldo mungkin menjadi aset penting buat Juventus ketika krisis Covid-19 dilaporkan bakal menjejaskan kewangan bola sepak Itali.

Juara lima kali anugerah Ballon d'Or dipercayai menerima gaji sekitar £510,000 (RM2.7 juta) mingguan di Stadium Allianz, dengan kontrak dijangka berakhir sehingga 2022.

Namun menurut laman media Itali, Il Messaggero, bagaimanapun penularan Covid-19 bakal menjejaskan keupayaan Juventus untuk membayar gaji lumayan bintang mereka.

The Old Lady memerlukan sekurang-kurangnya £62.5 juta (RM334.3 juta) bagi menampung gaji pemain berusia 35 tahun sekali gus membuktikan usia hanya angka semata-mata jika diukur pada prestasi semasanya.

Terdapat desas-desus di sebalik gaji lumayan dan nilai bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu mampu menarik minat beberapa kelab Eropah bagi mendapat khidmat pemain kebangsaan Portugal itu.

Antara yang menjadi pilihan utama adalah penyertaan semula bersama kelab lamanya seperti Real Madrid serta kelab liga Inggeris iaitu Manchester United yang kini ketandusan pilihan di bahagian serangan.

Kehadiran semula CR7 mungkin satu berita gembira buat peminta United ketika bos mereka Ole Gunnar Solskjaer sedang melakukan pelaburan membentuk jentera serangan lebih kukuh termasuk membawa pemain kebangsaan Nigeria, Odion Ighalo pada Januari lalu.

Adalah adil untuk mengatakan Real Madrid bergelut untuk mencari pengganti Ronaldo yang meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu pada musim panas 2018.

Begitupun Real masih mampu bersandar kepada penjaring terbanyak mereka setakat ini, Karim Benzema disamping beberapa pilihan di posisi berkenaan antaranya Luka Jovic, Mariano dan Lucas Vasquez.

Inter Miami kelab MLS yang dimiliki secara francais oleh bekas bintang bola sepak England, David Beckham masih tercari-cari pemain berpengaruh untuk ditandatangani. Sudah tentu Ronaldo adalah calon sesuai bagi tujuan itu.

Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain mungkin mengintai peluang mendapatkan khidmat Ronaldo selepas Edinson Cavani menjadi pemain bebas pada musim panas ini dan dijangka tidak menyambung kontraknya.

Ronaldo juga mempunyai pilihan untuk beralih angin ke Liga Super China ketika pasukan Shanghai Shenhua mencari pengganti bagi Odion Ighalo yang menyertai skuad Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 2:30 PM