REAKSI kecewa Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Parma, kelmarin. FOTO AFP
REAKSI kecewa Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Parma, kelmarin. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United dilaporkan telah menghubungi ejen Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes mengenai kepulangan semula ke Old Trafford, menurut muka depan Gazzetta dello Sport hari ini.

Superstar Juventus, Ronaldo dijangka meninggalkan Turin selepas tiba pada 2018 dan dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelab, United dan Real Madrid, selain Paris Saint-Germain.

Ronaldo yang beraksi bersama United bermula 2003 sehingga 2009 mungkin perlu mengurangkan gajinya jika mahu menjadikan penyatuan semula dengan Red Devils menjadi kenyataan.

Dia yang berusia 36 tahun kini memasuki fasa terakhir dalam kariernya. Menurut Gazzetta dello Sport, CR7 semakin tidak gembira di Juve dengan memori di Old Trafford mula menggamit fikirannya.

Ronaldo gagal melepasi peringkat suku akhir Liga Juara-Juara sejak berpindah ke Juve dari Real Madrid pada 2018.

Musim ini dibawah kendalian Andrea Pirlo, The Old Lady tampak sukar menjuarai Serie A selepas menduduki tangga keempat, 11 mata di belakang pendahulu, Inter Milan.

Malah, Juve hanya dua mata di atas Napoli yang menduduki tangga kelima sekaligus berkelebihan tipis untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Selepas berdepan krisis kewangan akibat pandemik koronavirus, Juventus tahu mereka boleh mendapatkan keuntungan dengan melepaskan pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

Juve juga berdepan penalti daripada Uefa atau Serie A selepas terbabit dengan idea penganjuran Liga Super Eropah.

Selain itu, Ronaldo turut dikaitkan dengan kepulangan ke Real Madrid namun Presiden Florentino Perez menafikan spekulasi itu sekaligus mencerahkan peluang Man United jika benar-benar mahu mendapatkan semula bekas pemain kesayangan mereka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:46 PM