MOHD Poad bertanggungjawab mencungkil bakat Khairul Hafiz. FOTO NSTP
MOHD Poad bertanggungjawab mencungkil bakat Khairul Hafiz. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan seakan memberi bayangan bakal meninggalkan jurulatihnya yang membimbingnya sejak berusia 15 tahun, Mohd Poad Md Kassim untuk berkelana di Bukit Jalil.

Bukan hanya Khairul Hafiz malah, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini turut berusaha untuk membawa pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, Haiqal Hanafi menjalani latihan di bawah kendalian pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Millers.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa kerja berkata, beliau sudah bertemu bersama pemegang rekod kebangsaan acara pecut itu minggu lalu berhubung hasrat untuk membawanya ke Bukit Jalil.

"Saya sudah berjumpa dengan Khairul Hafiz untuk bercakap hal ini dari hati ke hati dan dia berkata bahawa tiada masalah untuk datang ke KL dan Haiqal juga tiada masalah.

"Bagaimanapun satu perbincangan khusus perlu dilakukan membabitkan jurulatih dan atlet kerana ia membabitkan satu perubahan besar. Apa yang pasti KOM mahu situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak dan perbincangan perlu dilakukan segera," katanya.

Kata Manshahar, KOM tidak menidakkan kewibawaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Poad malah jurulatih kelahiran Melaka itu sudah membuktikan kemampuannya melahirkan ramai atlet pecut berbakat bermula dengan Badrul Hisyam Abdul Manap, diikuti Khairul Hafiz dan Haiqal.

Namun program untuk pelari pecut perlu dilaksanakan untuk memastikan barisan pelari negara boleh berlatih dalam kumpulan atlet yang lebih kompetitif.

"Pelari pecut ini tak boleh berlatih berseorangan. Ia perlu ada kumpulan atlet yang kompetitif supaya prestasi mereka akan dapat meningkat.

"Jika mereka dapat bersama kita boleh bentuk satu kumpulan 4x100m yang lebih mantap. Tapi semua itu perlukan perbincangan dan mesyuarat yang lebih khusus," katanya.

Katanya, hanya Haiqal kini masih berada di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kerana mempunyai urusan dan Khairul Hafiz sudahpun menjalani latihan di Bukit Jalil dalam proses mengubah angin sebelum pulang ke Johor 27 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:32 PM