ZII Jia boleh perbaiki diri sebelum Piala Thomas.
ZII Jia boleh perbaiki diri sebelum Piala Thomas.
Ferzalfie Fauzi


TIDAK mahu pisang berbuah dua kali, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui sangat risau tidak mampu memperkuatkan mental seandainya terpilih dalam skuad kelayakan Piala Thomas.

Apa yang dirisaukan Zii Jia itu pernah berlaku sebelum ini di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, iaitu aksi sulungnya bagi acara berpasukan (peringkat senior), apabila tidak terdaya untuk memberi tentangan sengit kepada Ihsan Maulana Mustofa dalam perlawanan akhir antara Malaysia menentang Indonesia.

Zii Jia yang diletakkan sebagai perseorangan kedua gagal menghidupkan peluang Malaysia selepas perseorangan pertama, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan beregu pertama, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tumpas kepada lawan masing-masing.

“Memang ada keyakinan untuk menyaksikan saya disenaraikan dalam skuad kelayakan Piala Thomas tapi apa yang merisaukan saya adalah kekuatan mental. Tahun ini yang terbaik buat saya tapi masih belum cukup.

“Saya gagal memberikan aksi terbaik ketika saat penting terutama di Sukan SEA. Saya tidak melakukan yang terbaik ketika pasukan sangat memerlukan saya,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Keyakinan Zii Jia untuk terpilih dalam skuad kelayakan Piala Thomas bukan hanya berdasarkan prestasi memberangsangkannya musim ini malah dari segi ranking dunia dia adalah pemain kedua terbaik negara, di belakang Datuk Lee Chong Wei.

“Saya perlu melihat kembali prestasi, mungkin sayat tidak kuat mental. Saya akan bermain dengan baik apabila tidak berada dalam keadaan tertekan tapi jika sebaliknya, masaah yang sama bakal berulang,” kata pemain kelahiran Alor Setar itu.

Ditanya jika dia mempunyai perwatakan pejuang seperti dimahukan Chong Wei untuk membarisi skuad kelayakan Piala Thomas, Zii Jia mengakui memiliki semangat berkenaan.

“Masalahnya sekarang saya berasa bimbang sedikit sama ada kami boleh memikul tekanan berkenaan apabila diberi peluang nanti.”

Saingan kelayakan Piala Thomas akan berlangsung di Alor Setar pada Februari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:23 PM