Misbun (kanan) memberi arahan kepada Iskandar ketika beraksi menentang pemain Algeria ,Mohamed Abderrahime Belarbi pada Kejohanan Badminton Piala Thomas. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Misbun (kanan) memberi arahan kepada Iskandar ketika beraksi menentang pemain Algeria ,Mohamed Abderrahime Belarbi pada Kejohanan Badminton Piala Thomas. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Fabian Peter

 

KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara Misbun Sidek mahu anak didiknya, termasuk bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, mencabar lawan-lawan dari Denmark apabila masing-masing bertembung pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Thomas esok.

Dalam perlawanan kedua kumpulan menentang Algeria hari ini, Malaysia membelasah juara Afrika itu 5-0 untuk menempah tempat ke suku akhir Khamis ini.

Di atas kertas, Denmark diletakkan sebagai pilihan utama menjuarai kumpulan, dengan barisan pemain handalan antaranya juara dunia dan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen, Anders Antonsen, Hans-Kristian Solberg Vittinghus dan Jan Jorgensen.

Misbun bagaimanapun tidak mahu pemain-pemain negara gentar menghadapi lawan mereka, sebaliknya berdepan mereka dengan penuh keberanian.

“Kami mahu ketiga-tiga perseorangan kita menang ke atas Denmark, tetapi kita perlu berhati-hati,” kata Misbun. “Mereka adalah juara bertahan. Tahap keyakinan mereka berbeza selepas memenanginya sebelum ini.

 

Walaupun tidak mendedahkan senarai pemainnya untuk pertembungan esok, yang pasti Chong Wei akan turun menentang Axelsen dalam perlawanan pertama perseorangan.

“Amat penting untuk kita memenangi perlawanan pertama. Mata pertama akan menentukan rentak untuk perlawanan seterusnya.

"Saya menggesa pemain-pemain untuk mencabar mereka (Denmark). Cabar mereka satu lawan satu dan saya tidak maksudkan pergaduhan, tetapi tidak perlu gentar dengan mereka.

“Axelsen baru saja pulih daripada kecederaan, jadi saya pasti dia mempunyai keraguan apabila berdepan Chong Wei. Kita perlu memanfaatkan situasi ini,” katanya.

Sejak Piala Thomas 2016 di Kunshan, China, Chong Wei belum pernah menewaskan lawan dari Denmark itu sepanjang tiga pertemuan antara mereka, dengan kali terakhir tewas di Final Siri Super Dunia BWF di Dubai, Disember lalu.

Dua lagi perlawanan perseorangan kemungkinan menyaksikan pertembungan antara Lee Zii Jia dan Antonsen, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin menentang Vittinghus atau Jorgensen.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 9:09 PM