HENDERSON menganggap pengiktirafan yang diberikan adalah hasil kerjasama sepasukan. FOTO AFP
HENDERSON menganggap pengiktirafan yang diberikan adalah hasil kerjasama sepasukan. FOTO AFP
AFP

KETUA pasukan Liverpool, Jordan Henderson dinobatkan sebagai pemain terbaik Penulis Sukan Bola Sepak (FWA) selepas berjaya mengetuai Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

Pemain berusia 30 tahun itu mengetepikan Kevin De Bruyne (Manchester City), penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk serta Sadio Mane.

Selain beraksi dalam 30 perlawanan liga musim ini, Henderson juga menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi di atas padang walaupun saingan terpaksa ditangguhkan selama tiga bulan akibat Covid-19.

Dia bersama-sama dengan pemain lain melakukan inisiatif ketika perintah berkurung untuk mengumpul dana kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS).

"Saya menerima pengiktirafan dengan mewakili seluruh skuad kerana tanpa mereka saya tidak berada di posisi untuk menerima penghargaan ini.

"Saya berharap siapa yang mengundi saya turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh rakan sepasukan," katanya.

Turut tercalon ialah Trent Alexander-Arnold, Alisson Becker, Raheem Sterling, Aaron Wan-Bissaka, Sergio Aguero, Adama Traore, Danny Ings, Jack Grealish, James Maddison dan Jonny Evans.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 9:47 PM