HENDERSON anggap kejayaan Liverpool sukar dicapai tanpa sentuhan Klopp. FOTO Agensi
HENDERSON anggap kejayaan Liverpool sukar dicapai tanpa sentuhan Klopp. FOTO Agensi
AFP

KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson memuji impak transformasi yang dicetuskan Jurgen Klopp bagi mengakhiri penantian 30 tahun bergelar juara Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Klopp tiba di Anfield pada 2015 ketika Reds bergelut dalam kelompok empat teratas sebelum layak ke Liga Juara-Juara.

Pengendali Jerman itu menghadiahkan Liverpool trofi Piala Eropah keenam musim lalu dan kini menamatkan penantian sekian lama untuk muncul juara England.

"Saya dapat rasakan sejak hari pertama kedatangannya dia mengubah segalanya," kata Henderson.

"Kami mengikut arahannya dan percaya kepadanya. Ia perjalanan yang hebat dan saya berharap kejayaan ini tidak setakat di sini. Kami akan terus bersamanya.

"Paling utama ialah dia membawa kami sejauh ini dan ini tidak mungkin tercapai tanpanya.

Liverpool mengesahkan gelaran milik mereka tanpa turun ke padang selepas Manchester City tewas 1-2 di Chelsea sekali gus bermakna anak buah Klopp memiliki jurang 23 mata dengan baki tujuh perlawanan.

"Detik menakjubkan apabila akhirnya kami dapat menghadiahkan gelaran kepada penyokong, kelab dan seluruh bandar ini," kata Henderson. "Tak dapat saya gambarkan perasaan ini."

Pemain Liverpool dan staf menyaksikan kekalahan City di hotel.

"Apabila kami menjuarai Liga Juara-Juara, kami berada di atas padang. Ia pengalaman berbeza menyaksikan perlawanan," kata Henderson.

"Ia satu detik indah dalam kehidupan kami yang tidak mungkin dilupakan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 11:27 AM