PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (tengah) bersama Andrew Robertson dan Georginio Wijnaldum. FOTO Reuters
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (tengah) bersama Andrew Robertson dan Georginio Wijnaldum. FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL: Liverpool mahu mengekalkan rekod cemerlang di awal musim menentang Southampton esok, bagi melakar sejarah baharu dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu dilihat berada di tahap terbaik.

Ini kerana, pemainnya dilihat tidak dibebani banyak perlawanan antarabangsa pada musim panas lalu.

Hanya empat kelab dalam sejarah Liga Perdana, Newcastle pada 1994, Manchester City dua musim lalu dan Chelsea pada 2005 dan 2009 membuka kempen dengan enam kemenangan berturut-turut.

Dan Klopp boleh meletakkan Liverpool dalam senarai itu jika mencatat kemenangan ke atas Southampton di Anfield.

Kemenangan juga akan menyamai rekod sejak 1990-91, di mana Liverpool membuka kempen musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut.

Permulaan hebat Liverpool musim ini termasuk kemenangan dramatik ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara di laman sendiri Rabu lalu adalah disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah Kloop tidak memiliki ramai pemain utama yang melangkah jauh dalam kejohanan Piala Dunia di Russia pada musim panas lalu.

Hanya lima pemain Liverpool beraksi di suku akhir Piala Dunia di belakang Chelsea, Tottenham dan dua kelab dari Manchester dengan juara bertahan, Manchester City mempunyai 11 pemain terbabit dalam perlawanan di peringkat lapan pasukan terakhir.

Tottenham yang tewas kepada Liverpool  1-2 di London minggu lalu mempunyai sembilan pemain melangkah ke peringkat itu di Piala Dunia, manakala Klopp menyaksikan pemain seperti Andy Robertson, Virgil Van Dijk, James Milner dan Georginio Wijnaldum memberi sumbangan besar kepada pasukan selepas tidak beraksi di Russia.

Klopp dilihat bijak menguruskan pemain yang tidak pergi ke Russia.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson yang membawa England ke separuh akhir hanya beraksi sekali dalam skuad utama bagi perlawanan liga, namun memainkan peranan besar ketika menentang PSG dan itu menjelaskan mengenai kelebihan pengurusan Klopp terhadap pemain.

“Pemain berusaha keras pada pra-musim dan saya boleh lihat kepentingannya di mana pemain cukup cergas. Mereka mendapat rentak dalam perlawanan pra-musim,” kata Henderson.

“Anda boleh lihat persembahan mereka, mereka berjaya memenangi perlawanan. Jadi saya boleh menerima keputusan apabila saya tidak diturunkan.

“Sememangnya ia lebih mudah apabila anda mengikuti pra-musim lebih lama, bermain dalam lebih banyak perlawanan sebelum musim bermula. Tahap kecergasan anda akan lebih meningkat,” katanya. -AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:51 AM